
Pekan kecil Bukit Fraser dikelilingi hutan hujan negeri Pahang. Pusat peranginan tanah tinggi ini yang terletak pada ketinggian 1,524 meter di atas paras laut merupakan tempat tumpuan para penggemar alam semulajadi kerana hutan di sini mengandungi pelbagai jenis tumbuhan, burung dan spesis haiwan yang lain.
Bukit Fraser hanya boleh dikunjungi menerusi sebatang jalan yang melalui 'The Gap' yang terletak di kaki bukit. Sebaik sahaja anda melepasi 'The Gap', anda akan merasakan seolah-olah kembali ke zaman silam. Suasana di Bukit Fraser menyerupai suasana perkampungan di pedalaman negara Scotland yang dipenuhi dengan bangunan granit kelabu dengan gaya Tudor.
Pekannya agak kecil dan kebanyakan aktiviti di sini tertumpu di sebuah dataran yang mempunyai sebuah menara jam yang cantik. Kebanyakan kemudahan di sini terletak di dalam bangunan-bangunan yang terbina pada zaman penjajahan Inggeris.
Pusat peranginan ini dianggap sebagai tempat terunggul untuk aktiviti memerhati burung dan sering menjadi tuan rumah acara tahunan Pertandingan Memerhati Burung Antarabangsa Bukit Fraser.
Pertandingan ini memerlukan peserta menyusuri laluan-laluan trek yang terdapat di dalam hutan di sini bagi mencari dan merekodkan jumlah pelbagai jenis burung yang boleh dilihat dalam tempoh masa yang ditetapkan.
Anda boleh menikmati pelbagai jenis aktiviti ketika berada di Bukit Fraser. Antaranya, bermain golf di padang golf 9-lubang di Kelab Golf DiRaja Bukti Fraser atau padang golf 18-lubang di Fraser's Hill Golf & Country Club.
Selain itu, anda boleh pergi memancing dan bersampan di Allans' Water, bersiar-siar di taman-taman bunga dan taman rekreasi atau mandi di air terjun Jeriau yang sungguh sejuk dan nyaman.

No comments:
Post a Comment